Sunday, November 11, 2018

Apa beza kari dan gulai?


Satu nama, pelbagai rasa dan rupa. Itulah keistimewaan kari, masakan yang dijamah hampir seluruh penduduk dunia.

Berasal dari India, kari kini bukan sahaja popular di rantau Asia, malah di benua Eropah, Afrika dan Amerika.

Menariknya, setiap negara memiliki resipi dan adunan berbeza untuk memasak kari menyebabkan rasanya berbeza-beza.

Asalnya, kari atau di utara semenanjung turut dipanggil gulai, adalah campuran pelbagai rempah dengan ikan, ayam, daging, udang, ketam dan kambing, sebelum masakan itu diubah suai mengikut cita rasa penduduk tempatan.

FOKUS

Kari berasal daripada perkataan Tamil yang sama maksud dengan perkataan bahasa Inggeris ‘curry’ yang merujuk kepada kuah.

Kebiasaannya, kari dihasilkan daripada campuran rempah berasal dari India dikenali sebagai garam masala iaitu campuran lada hitam, kayu manis, ketumbar dan beberapa jenis rempah lain.

Campuran rempah biasanya rempah kering yang dijadikan pes dan dicampur bersama bahan masakan lain seperti halia, cili merah, jintan putih, kunyit, daun kari, bawang putih dan bawang merah untuk melengkapkan resipi.

Namun, resipi kari tidak hanya terhad kepada sejenis ramuan dan campuran rempah kerana bahan lain turut digunakan.
Kari Utara India
Sebagai contohnya di India, resipi hidangan itu berbeza mengikut kawasan. Kari yang dimasak di selatan India jauh berbeza dengan kari dari selatan.
Kari Kuning Amerika Syarikat
Berlainan pula de­ngan kari di negara Barat yang lebih ringkas dengan mencampurkan serbuk kari bersama beberapa perasa bersesuaian dengan cita rasa mereka.

Disebabkan sejarah kari sangat panjang dan diadaptasi mengikut berlainan hidangan, ia mempunyai pelbagai variasi dengan versi berbeza dari segi rasa dan warna.

Walaupun kebiasaannya kari dikaitkan dengan warna kuning keemasan yang terhasil daripada kunyit dan campuran rempah pedas, kadangkala ia boleh menjadi sederhana pedas atau sangat pedas.

Sebagai contoh di Jepun, kari asalnya diimport dari India ke negara matahari terbit itu oleh orang Inggeris pada zaman Meiji. Ia pertama kali dirasai tentera Jepun dan akhirnya membawa kepada kehadirannya dalam masakan Jepun.
Kari Jepun
Kari Jepun tidak seperti versi India kerana bahan digunakan berbeza seperti penggunaan roux (campuran tepung dan lemak). Ia juga menggunakan epal dan madu dalam resipinya dan menu itu turut diterapkan dalam juadah asli Jepun seperti udon kari, roti kari, dan tonkatsu kari.
Kari Ayam Indonesia
Berbeza pula dengan di Indonesia, kebiasaannya kari menggunakan elemen sitrus sama ada daun limau atau jus limau. Ia turut meng­gunakan daun salam dan ada sesetengah resipi memasukkan belimbing buluh. Rasanya juga lebih masin dan masam serta seimbang dan tidak terlalu pedas atau bau rempah yang kuat.
Kari Daging Bangladesh
Di Bangladesh, ia tidak jauh berbeza dengan kari India namun campuran rempahnya berlainan de­ngan penambahan serbuk selaput buah pala dan jintan hitam. Kuahnya lebih pekat yang turut menghasilkan rasa rempah lebih kental.

Resipi kari dari Turki menampilkan bahan agak ringkas dan hampir sama dengan yang dihasilkan di negara Barat. Namun, kaedah penyediaannya unik dan berlainan iaitu ia dimasak dalam ketuhar menggunakan mangkuk kaserol dan cara masakan itu menjadikan kuahnya hampir seperti sos.
Kari Thailand
Di Thailand pula, hida­ngan kari terkenal di negara itu ialah kari hijau berdasarkan warnanya. Sesuai dengan namanya, kari hijau agak pedas hasil penggunaan cili hijau dan cili padi.
Kari Kepala Ikan Bagan Datuk
Di Malaysia, kebanyakan resipi kari orang Melayu hampir sama seperti di India, namun antara resipi yang menjadi keistimewaan dan keunikan tersendiri ialah pajeri nanas.
Pajeri Nenas
Penggunaan nanas menjadikan ‘kari’ berkenaan lebih manis dan berbeza dengan kari lain kerana ditambah kerisik.

Namun, tidak kira apa campuran digunakan dalam kari, ia pasti menjadi hida­ngan istimewa yang digemari segenap lapisan masyarakat.



EmoticonEmoticon