Akhir-akhir ini, ramai yang berasa keliru dengan penggunaan kata ' baru ' dan ' baharu '. Bukan sahaja dalam kalangan murid, malahan para guru terutama mereka yang bukan daripada pengkhususan Bahasa Melayu turut sukar membezakannya.
Di sini, diterangkan secara ringkas beza antara baru dan baharu . Juga saya sertakan beberapa contoh ayat melibatkan penggunaan dua
kata berkenaan bagi memudahkan pemahaman pihak yang berkenaan.
Baharu
Bermaksud sesuatu yang tidak buruk, tidak lama, belum pernah atau belum lama terpakai kerana dijaga atau dipelihara dengan baik.
Kata ‘baharu’ digunakan untuk memzahirkan sifat atau adjektif.
Berikut ini ,3 contoh ayat menggunakan kata ‘baharu’ .
1. Basikal baharu abang itu dihadiahkan oleh emak sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-16.
2. Kasut sukan baharu Aiman berharga RM175.00.
3. Setiap kali menjelang lebaran, ibu tidak pernah lupa membelikan baju baharu untuk kami adik beradik.
Baru
Kata ini merujuk kepada masa atau waktu, iaitu belum berapa lama lagi, sesudah, tidak lama sebelum ini dan lain-lain lagi yang bermaksud serupa dengannya.
Berikut pula, 3 contoh ayat dengan penggunaan kata ‘ baru’ di dalamnya.
1. Encik Amri baru sahaja tiba dari London awal pagi tadi.
2. Kereta yang baru dibeli ayah semalam sudah pun dicuri orang.
3. Baru-baru ini, kami sekeluarga pergi bercuti ke Pulau Pangkor.
Diharapkan dengan penjelasan ringkas serta beberapa contoh ayat mudah di atas, akan dapat membantu anda melihat dan memahami beza antara ‘baru’ dan ‘baharu’ dengan lebih pantas.
EmoticonEmoticon